INFO SRAB

Sekolah Rendah Agama Bersepadu merupakan sebuah sistem sekolah milik Kerajaan Negeri Johor. Sekolah ini telah diperkenalkan dari keputusan hasil mesyuarat jawatankuasa kajian terhadap Sistem Pendidikan Agama Negeri Johor. Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh Dato' Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Darul Takzim. Cadangan penubuhan sekolah ini adalah untuk mencapai maksud dan kehendak pelan tindakan belanjawan kajian pendidikan agama tahun 1998.

Pada 4 Januari 1999, Sekolah Rendah Agama Bersepadu Kerajaan Negeri Johor telah memulakan sesi persekolahan yang pertama di lapan buah sekolah dalam lapan daerah seluruh negeri Johor iaitu:

• SRAB Johor Bahru
• SRAB Batu Pahat
• SRAB Muar
• SRAB Pontian
• SRAB Kluang
• SRAB Segamat
• SRAB Kota Tinggi
• SRAB Mersing


Penubuhan sekolah ini adalah kesan daripada hasrat masyarakat di negeri ini yang inginkan kesinambungan kepada Darjah Khas. Sistem pendidikan di sekolah ini menggabungkan Sistem Pendidikan Kebangsaan yang digunakan di semua sekolah kebangsaan di seluruh Malaysia dan Sistem Pendidikan Agama Negeri Johor.

LATAR BELAKANG SEKOLAH AGAMA JOHOR
1918- Sejarah pendidikan bermula dengan nama Sekolah Al-Quran. Tumpuan hanya kepada pembelajaran Al-Quran.
1920 -Nama Sekolah Al-Quran ditukar kepada Sekolah Kitab dengan penambahan matapelajaran Al-Quran, Tauhid, Ibadat dan Tasauf.
1923- Nama Sekolah Kitab ditukar kepada Sekolah Agama Petang dengan penambahan matapelajaran Muamalat, Munakahat, Faraid, Jenayah, Akhlak, Tarikh, Tulisan Jawi dan Bahasa Arab.
1923- Kelas ' Darjah Khas ' diwujudkan sebagai satu - satunya lanjutan Sekolah Agama Petang.
1960 -Maahad Johor ditubuhkan sebagai pusat pengajian IV Thanawi di negeri Johor.
1965-Nama Sekolah Agama Petang ditukarkan kepada Sekolah Agama Kerajaan Johor.
1988- Penubuhan sekolah berasrama penuh iaitu Sekolah Menengah Agama Kerajaan Johor, Kluang (SMAKJ)
1994- Pelaksanaan Kurikulum Baru Sekolah Agama (KBSA)
1997- Penubuhan Institut Pengajian Tinggi Islam dan Bahasa Arab iaitu MARSAH
1998- Pelarasan umur 7 tahun bagi kemasukan murid ke Sekolah Agama Kerajaan Johor
1999-Pelaksanaan Sekolah Rendah Agama Bersepadu ( SRAB )
2001- Penubuhan Tadika Agama Johor (TAJ)

MATLAMAT PENUBUHAN SRAB
Matlamat penubuhan srab adalah untuk menghasilkan murid-murid yang dapat membentuk peribadi muslim sejati untuk menghadapi kehidupan yang sebenar, memperkembangkan roh, akal, emosi, dan fizikal selari dengan tuntutan Islam supaya menjadi generasi yang patuh dan tunduk kepada perintah peraturan Ilahi, menyediakan asas ketrampilan dan kemahiran mengikut minat dan bakat dan akhirnya dapat melahirkan belia muslim yang bertanggungjawab terhadap masyarakat dan alam.

VISI SRAB
Mendidik murid-murid supaya cemerlang dalam pelbagai aspek untuk mencapai matlamat wawasan 2020.

MISI SRAB
Memberikan pendidikan yang berkualiti berdasarkan falsafah pendidikan islam dan falsafah pendidikan kebangsaan kepada setiap individy secara syumul dan bersedia menghadapi cabaran dalam memenuhi kehendak masyarakat.

MAKLUMAT UMUM PERSEKOLAHAN
1. Jangka masa persekolahan selama 6 tahun.
•Tahap 1 (Tahun 1,2, dan 3)
•Tahap 2 (Tahun 4,5 dan 6)
2. Masa persekolahan : 8.00 pagi sehingga 4.30 petang.
3. Asrama tidak disediakan.
4. Minum pagi dan makan tengahari disediakan di kantin.
5. Sholat fardhu zohor secara berjemaah di surau sekolah.

PENDIDIKAN LANJUTAN
Setelah tamat tahun 6 (UPSR dan SDEA) murid-murid berpeluang melanjutkan pelajaran di :
*Sekolah Menengah Agama Kerajaan Negeri Johor.
*Sekolah Menengah Agama Kementerian Pendidikan.
*Sekolah Menengah (ARAB)
*Sekolah Menengah Kebangsaan Kementerian Pendidikan.
Dalam situasi pengisian rohani yang agak mantap selama 6 tahun diharap dapat menampilkan generasi Muslim yang kukuh iman, memiliki daya juang, daya saing dan daya maju.

LOGO SRAB










Logo sekolah mengandungi bentuk-bentuk atau lambang yang tertentu iaitu lambang bintang yang berbucu lima menunjukkan Rukun Islam ada lima perkara.Bulan Sabit melambangkan Agama Islam. Bentuk bulatan melambangkan kesepaduan, bentuk reben di bahagian bawah logo melambangkan tunggak SRAB.Di bahagian atas reben berbentuk bulan sabit bertulis moto sekolah 'Membentuk Insan Bertaqwa'

WARNA LOGO SEKOLAH
Hijau - Melambangkan Keislaman
Kuning - Melambangkan Kemuliaan Darjah – Darjah Kebesaran Sultan Yang Berdaulat Sebagai Yang Di Pertuan agung dan penaung rakyat serta menjadi ketua hal ehwal agama.
Merah - Melambangkan Berani Serta Maju Kehadapan.
Biru - Melambangkan Keharmonian.
Hijau - Melambangkan Kesucian.

SEJARAH SRAB BATU PAHAT
Sekolah Rendah Agama Bersepadu, Kerajaan Negeri Johor (SRAB) Daerah Batu Pahat di tubuhkan pada Januari 1999, menumpang di bangunan Sekolah Agama Kenangan Dato’ Onn. Mengambil pelajar-pelajar tahun satu lelaki dan perempuan seramai 85 orang, dibahagikan kepada dua kelas iaitu 1 tabah dan 1 cekal. Tenaga pengajar seramai enam orang dan seorang pembantu tadbir.

Pada Tahun 2002, Sekolah Rendah Agama Bersepadu Daerah Batu Pahat telah berpindah ke bangunan baru yang terletak di Jalan Kelabu Asap, Taman Bukit Pasir, Batu Pahat. Bangunan ini merupakan bangunan 1 blok, mengandungi 12 buah bilik darjah, pejabat, bilik guru, bilik mesyuarat, bilik komputer, makmal sains, bilik serbaguna, stor sukan, bilik rawatan, perpustakaan, pusat sumber dan bilik solat. Pada tahun itu juga seramai 83 orang pelajar tahun satu, lelaki dan perempuan diterima masuk setelah menduduki ujian kelayakan pada Julai 2001. Penambahan lima orang tenaga pengajar baru pada bulan Januari 2002 dan dua orang lagi pada Julai 2002.

LAGU SEKOLAH (SRAB BATU PAHAT CEMERLANG)
Bersama padukan tekad
Dengan satu semangat
Lafaz ikrar digenggam erat
Menuju arah matlamat

Terangi kami sinar ilmu
Agar jadi panduan
Akhlak mulia taqwa beriman
Penyuluh sepanjang zaman

Ibu bapa kami sanjungi
Jasamu guru tetap dihati
Bermotivasi disiplin diri
Amalan suci murni

Janji kami harumkan namamu
Janji kami tunaikan hasratmu
Cemerlang dicipta kami bersedia
Berusaha hingga jaya

Bersatu pastikan teguh
Cabaran sama ditempuh
Padukan tekad padu semangat
SRAB Batu Pahat cemerlang